Selepas
menghayati analisa dan artikel yang dibuat oleh pelbagai pihak, saya rasa
sistem pendidikan percuma yang dicadangkan boleh dibahagikan kepada 3 jenis,
iaitu neoliberalisme, sosial demokratik dan sosialis. Ia semirip dengan sistem
ekonomi. Ya, memang sistem pendidikan percuma tidak boleh dipisahkan dengan
sistem ekonomi. Di dalam dunia ini tiadalah sistem pendidikan percuma, cuma
persoalannya siapa atau pihak manakah yang harus menanggung kos pembiayaan
sistem pendidikan yang begitu penting.
Rakyat
yang pergi ke sekolah atau universiti haruslah membayar. Ayat ini menimbulkan
dua soalan: 1) adakah semua rakyat mampu
membayar? 2)bolehkah pendidikan dibeli oleh rakyat dengan duit sendiri?
Jurang
perbezaan antara orang kaya dan miskin memang teruk di Malaysia. 60% pendapatan
keluarga kurang daripada RM3000 dan 30% yang lain mendapat RM3000 ke atas.
Peningkatan gaji dalam 10 tahun ini hanya 2.6% sedangkan kadar inflasi mencecah
ke 3%. Rakyat miskin bukan tidak berusaha untuk bekerja tetapi gaji yang
sepatutnya diberi telah dihisap oleh majikan. Oleh itu, kerajaan haruslah
memainkan peranan untuk mengenakan cukai dengan peratusan yang tinggi untuk
membekallakn kemudahan asas kepada rakyat miskin.
Untuk
soalan kedua, kalau jurang perbezaan antara orang kaya dan miskin tidak seteruk
seperti ini, perlukah pendidikan dibekalkan dengan percuma? Bagi saya kerajaan
juga harus mengenakan cukai ke atas rakyat untuk memberi pendidikan percuma.
Kalau rakyat tidak dikenakan cukai dan membayar untuk mendapat pendidikan,
maksudnya mereka akan memiliki pendidikan atau ilmu? Adakah mereka masih boleh
berkongsi apa-apa yang mereka belajar untuk membina masyarakat yang adil dan
saksama? Satu soalan yang masih boleh dibincangkan untuk jangka masa panjang.
Sebelum
kita memahami ketiga-tiga jenis pendidikan percuma yang berideologi lain,
marilah kita memahami sistem ekonomi dulu. Neoliberalisme adalah satu sistem
ekonomi yang menerusi fikiran kapitalis dan ia sangat pantang aktiviti ekonomi
yang dicampur tangan oleh kerajaan. Penganut-penganutnya ingin meminimumkan
tanggungjawab kerajaan dalam pelbagai bidang termasuk pembinaan kemudahan asas
dalam negara dan mengalakkan persaingan bebas. Dasar penswastaan adalah polisi
yang paling secocok dengan fikiran neoliberalisme. Di Malaysia, susah nak dapat
satu syarikat besar neoliberalisme yang tulen, iaitu syarikat yang tiada campur
tangan atau hubungan dengan orang politik Barisan Nasional. Marilah kita lihat
10 orang yang terkaya di Malaysia, siapakah daripada mereka tiada kaitan dengan
BN? Mungkinkah kalau Tan Sri Vincent Tan dapat menjadi francaisor kedai 7-11
tanpa memberi manfaat secara peribadi kepada menteri-menteri yang membuat
keputusan berkenaan seperti memberi jawatan pengarah? Oleh itu, penganut
neoliberalisme masih berpendapat Malaysia bukanlah negara kapitalis tetapi
sosialis yang menafikan hak untuk memperolehi harta yang diusahakan terutamanya
zaman sebelum Tun Mahathir.
Dengan
fikiran demikian, mereka membantah IPTA yang sedia ada malah menggalakkan
pembinaan IPTS untuk mengganti IPTA. Kerajaan tidak harus campur tangan dalam
pengurusan dan segala pelaksanaannya termasuk pembekalan PTPTN. Dalam konteks
Malaysia, UMNO/BN hendak memelihara kroni-kroninya yang tidak mampu bersaing
dengan kapitalis-kapitalis besar peringkat anrtarabangsa, ia memutarbelitkan
isu ini dengan membezakan rakyat Malaysia kepada bumiputera dan bukan
bumiputera. Disebabkan golongan yang digelar bumiputera merupakan majoriti di
Malaysia, maka perlindungan yang diberi kepada mereka akan mengukuhkan
pemerintahan UMNO. Sebenarnya pembahagian kekayaan kepada kroni-kroni adalah
tidak membezakan status bumiputera atau warna kulit. Kalau perkongsian harta
adalah berdasarkan bumiputera, kenapa statistik yang diumumkan oleh PEMANDU
menunjukkan Melayu merupakan majoriti dalam golongan yang berpendapatan RM3000
ke bawah? Adakah kekayaan mereka meningkat sepintas dengan kroni-kroni UMNO?
Adakah
neoliberalisme menghadapi pembuntuan dalam Malaysia? Kita memerhati dasar-dasar
yang akan dilaksanakan seperti Perjanjian FTA, GST, penswastaan hospital dan
pendidikan, kini sedang dalam proses untuk mencapai sistem neoliberalisme.
Tetapi UMNO juga faham sistem ini tidak akan memberi kekayaan kepada golongan
yang sepatutnya dilindungi olehnya iaitu Melayu jika persaingan sengit
berlakunya, hanya orang yang berupaya dalam kewangan berlayak menyertai
pemainan ini. Terpaksalah UMNO menangguhkan Model Ekonomi Baru yang
berneoliberalisme dengan menggantikan Pelan Transformasi Ekonomi yang masih
dianggap memelihara orang Melayu tetapi menjaga kepentingan kroni-kroni sahaja.
Penganut
neoliberalisme harap boleh menghapuskan IPTA dengan membina IPTS.
Syarikat-syarikat swasta membina IPTS dan pelajar-pelajar perlu bayar sendiri
melalui pinjaman yang dibekalkan oleh syarikat itu sendiri dengan syarat-syarat
tertentu seperti bekerja dengan syarikat itu. Persoalannya adakah semua
syarikat mampu membuat demikian? Kapital atau modal yang besar amat diperlukan
untuk membiayainya. Syarikat-syarikat kecil akan terkorban atau diberi kad
merah untuk keluar dari pasaran jika tidak mampu bersaingan. Syarikat besar
sahaja akan menjadi monopoli dalam pasaran itu dan yuran pengajian akan
ditingkatkan tanpa persaingan yang sengit nanti. Pada masa itu pasaran tidak
wujudlah, ia semata-mata nak hapuskan musuh-musuh dan syarikat kecil. Inilah
kesan 500 buah IPTS yang tiada bantuan PTPTN.
Bayangkan
jika semua IPTS diuruskan oleh pihak swasta sahaja bedasarkan konsep ‘invisible
hand’ tanpa kawalan kerajaan!
Bagaimana
dengan sosial demokratik? Dalam sistem ekonomi ia menegakkan pandangan
keperluan asas seperti pendidikan dan kesihatan perlu diuruskan oleh kerajaan
dan kerajaan harus campur tangan dalam sistem pasaran. Kerajaan sosial
demokratik tidak membantah sekeras-kerasnya jika wujud IPTS dan IPTA pada masa
yang sama. Asalkan persaingan yang adil dan saksama dilakukan. Mekanisma
pembiayaan IPTA dan IPTS yang dicadangkan oleh pengarah strategi PKR Rafizi dan
KPRU boleh dikatakan fikiran sosial demokratik, di sini saya tidak menghurai
banyak tentang mekanismenya.
Biar
kita lihat kepada sistem kapitalisme yang berorientasikan keuntungan, IPTS
wujud kerana keuntungan, tidak kiranya ia bersikap pasaran atau dibiayai oleh
PTPTN. Contoh IPTS yang bergantung kepada PTPTN adalah Masterskill dan MAHSA
bukan sahaja menjejaskan sistem pengajian tinggi tetapi sistem kesihatan.
Pengurusan PTPTN yang teruk sekali tidak payahlah saya ulang di sini juga.
Salah
seorang penyokong sistem pasaran Adam Smith menyatakan bahawa apabila ada
permintaan maka ada pengeluaran. Dengan logik ini, jika permintaan yang tidak
dapat membawa keuntungan, adakah pengeluar akan memuaskan keuntungan tersebut?
Menurut statistik Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2010, jurusan
pengurusan perniagaan merangkumi peratusan yang paling tinggi iaitu kira-kira
35%. Jurusan sejarah dan falsafah langsung tiada. Kalau IPTS mengutamakan
kepentingan pengajian tinggi, kenapa jurusan ini tidak dibekalkan? Saya
mempercayai pada suatu hari nanti kreativiti kapitalis-kapitalis akan
membekalkan jurusan-jurusan ini bertujuan memahami sosial ekonomi bagi sesuatu
lokasi atau negara untuk mengaut keuntungan yang lebih besar.
Adakah
mekanisme yang dicadang oleh ‘think tank’ sosial demokratik itu boleh diterima?
Budaya persaingan antara IPTA dan IPTS adalah tidak boleh dikekalkan dalam
jangka masa panjang kerana pendidikan bukan komoditi yang sama fizikal dan
mental seperti getah dan kelapa sawit untuk mewujudkan ‘persaingan sempurna’. Di
Malaysia, pembekuan IPTS perlu dikuatkuasakan dengan segera dengan penambahan
IPTA dengan pembiayaan kerajaan bukan dengan cara ‘Public-Private Partnerships’. Pendidikan dan pengajian tinggi adalah
pemangkin pluralism, satu element demokrasi yang inklusif, melahirkan pandangan
yang berbeza tanpa kira minoriti dan majoriti. Persaingan antara satu sama lain
berdasarkan kemampuan dan syarat boleh memusnahkan golongan yang tidak mampu
tanpa kira kuantiti secara tidak langsung. Pada halnya, IPTS akan di’IPTA’kan
atau IPTA akan di’IPTS’kan, siapa yang akan menang?
Akhir
sekali adalah sistem sosialis yang sedang diamalkan di Venezuela. Usahlah kita menjelaskan
sistem pendidikan percuma sedia ada yang dilakukan kerana internet boleh dapat
dengan beberapa klik. Kita pun tidak perlu mengikut seratus peratus cara
perlaksanaannya. Yang penting sekali adalah adakah parti-parti politik yang
akan menang pada pilihan raya umum nanti ada ‘political willing’ untuk membekal
sistem pendidikan percuma bukan berorientasikan pasaran.
Pendidikan
percuma bukan sahaja hubungan di antara guru/pensyarah dan
murid/pelajar/mahasiswa, tetapi berkaitan dengan sosial ekonomi serta keluarga
di sekelilingnya. Isu-isu pengganguran, buruh dan kemiskinan tidak boleh
diabaikan dan perlu dikawal oleh kerajaan. Kalau pasaran buruh tidak dilindungi
oleh kerajaan maka pendidikan percuma yang diurus penuh oleh kerajaan juga akan
di’pasaran’kan.
Sebagai
contohnya, jika pasaran memerlukan 100 orang mahasiswi berjurusan pengurusan,
iaitu permintaan terhadap pasaran buruh. Kerajaan sebagai pengeluar, iaitu
pembekal kepada latihan dan pendidikan percuma, ia harus menyediakan kursus
pengurusan untuk memenuhi permintaan itu kalau ikut logik pasaran yang disebut
oleh Adam Smith. Penyediaan kursus yang tidak diminta oleh pasaran akan
menyebabkan pengganguran berlaku, maka kerajaan terpaksa menjadi pengikut
sahaja.
Di Malaysia,
pendidikan percuma perlu dilaksanakan dengan sekurang-kurangnya merangkumi kos asrama,
yuran pengajian, makanan dan
pengangkutan. Mungkin anda akan ketawa dengan cara ini? Tetapi adakah
pembaca-pembaca mengetahui bahawa di Sungai Siput terdapat pelajar tidak dapat
baca habis sekolah menengah kerana tidak mampu bayar tambang bas RM50 sebulan
sejauh 18km dalam perjalanan sehala?
Penambahan
cukai korporat, pembasmian korupsi dan menasionalisasikan Petroleum dapat
menampung kos-kos pembiayaan pendidikan percuma serta melindungi pekerja dan
mengurangkan kemiskinan. Kos pembiayaan ini boleh dikurangkan jika pihak
majikan sanggup berkongsi kekayaannya dengan pekerja-pekerjanya.
Pendidikan
dan pengajian tinggi bukan sahaja membaca buku, ia harus termasuk pengurusan
kampus secara demokrasi dan belajar bagaimana menyelesaikan masalah sebelum
keluar dari kampus. Perbincangan pendidikan percuma adalah tidak
berhabis-habisan. Inilah pandangan saya terhadap pendidikan percuma.
Perbincangan adalah unsur perjuangan, perjuangan tidak akan terhenti-henti.